Mula Masuk Sekolah

Sekolah Melayu Binjai Di Zaman Ciku Dol (1947-1950)

Masih ku ingat bagaimana aku ‘dikutip’ oleh CheGu Dol (guru-besar) untuk pergi ke sekolah.

Pada suatu hari di akhir tahun 1948 (semasa cuti sekolah agaknya) aku dan kawan-kawan (seramai 5 orang kalau tidak silap ingatanku) terdengar enjin motosikal besar masuk kampung. “Brum, bum, buk, buk, buk, dum, dum…”, bunyinya. Motorsikal yang dipandu oleh seorang yang berbadan besar (gemuk) pertengah umur menghampiri tempat aku dan kawan-kawan sedang bermain ‘katuk stik’ di halaman rumahku. “Assalamualaikum, ayah… emak ada di rumah?” orang itu menegur sambil mematikan enjin motosikalnya.

Kami berhenti bermain dan beredar menjauhkan diri dari orang itu kerana rasa takut kepada orang berbadan besar yang belum kami kenal itu. Aku menjawab, “Ayah di telaga, mandi. Emak ada di dapur.”

“Makkk… ada orang cari ayah ni…”, teriakku sambil menoleh ke arah bahagian dapur rumahku, dari bawah rumah. Rumah kami agak tinggi, di bawahnya lepas kepala.

“Gi lah panggil ayah di telaga… ” jawab emak yang menjenguk ikut “pintu maling” (jendela atau tingkap besar). “Oh che’ gu… nantilah anak saya gi panggil ayahnya di telaga”, sambung ibuku apabila mengenali tetamu yang datang.

“Tak apalah, saya tunggu.”, kata orang gemuk itu. “Oi… budak-budak, mari sini dekat che’ gu”, sambungnya ke arah kami yang sedang memerhatikannya dan motosikalnya dari jauh. Memang besar motosikalnya yang kemudian harinya aku tahu sebagai jenis BSA 500 cc.

Kami menghampiri che’ gu tersebut. Walaupun rasa segan, malu dan takut-takut kami juga berminat untuk melihat motosikal besarnya itu dari dekat. “Awak nama apa?”, che’gu itu bertanya ke arahku. “Besar”, jawabku ringkas.

“Awak?”, tanya pula che’gu tu kepada kawan-kawan yang lain. “Saya nama Jakpor, ” jawab seorang kawanku yang bernama Jaafar. “Dia tu namanya Seman, dan itu adik dia, Zali dan yang ni Mamud” sambung Jaafar lagi.

Cukup Umur

“Besar, mari dekat che’gu. Cuba sentuh telinga kiri awak dengan tangan kanan ikut atas kepala. Boleh sampai tak?” orang itu menyuruh aku mencapai telinga kirikun dengan tangan kanan ikut atas kepalaku. Mengikuti sebagaimana diarahkan, aku dapati jari-jari tangan kananku dapat menyentuh telinga kiriku.

“Ahh… awak dah cukup umur untuk masuk sekolah,” kata che’gu itu. Dan begitulah seterusnya diarahkan kepada empat kawanku yang lain. Keputusannya hanya aku dan Jaafar sahaja yang “cukup umur”. Othman, Razali dan Mahmud belum “cukup umur” untuk bersekolah.

Bila ayahku pulang ke rumah dari mandi di telaga, ayah menjemput che’gu itu naik ke rumah. Mereka dihidangkan air teh o dan biskut tawar oleh ibuku; dan setelah bersembang beberapa ketika che’gu dan ayah turun ke tanah. Ayah memeberitahu aku bahawa aku kena mula bersekolah bulan depan (Januari, 1949), demikian juga kawanku yang bernama Jaafar yang sudah pulang ke rumahnya kerana che’gu tadi kata hendak ke rumahnya selepas ini.

Setelah bersalaman, che’gu besar bernama Cikgu Dol bermotorsikal besar itu pun beredar dengan motosikalnya untuk meneruskan misi “boy-hunt”nya di kampung kami dan di kampung-kampung lain di sekitar bagi memenuhi kerusi-kerusi kosong darjah satu di sekolahnya tahun hadapan. Demikianlah caranya kanak-kanak kampung di zaman itu disekolahkan.

Itulah yang berlaku di kampungku dan sekitarnya. Aku tidaklah ketahui bagaimana cara yang digunakan di kampung-kampung lain di negeri kita zaman sebelum merdeka itu. Yang aku pasti ialah untuk mendaftar masuk ke Sekolah Melayu Binjai, surat beranak (sijil kelahiran) tidak diperlukan. Hanya kaedah capai telinga kiri dengan tangan kanan ikut atas kepala yang digunakan untuk menentukan sudah “cukup umur” atau belum untuk seseorang kanak-kanak masuk ke darjah satu. Aku rasa mungkin CikGu Dol sahaja yang mengguna kaedah itu.

Entahlah. Tetapi bila aku dalam darjah empat barulah akau diperkenalkan kepada surat beranak. Sebelum itu aku tidak tahupun aku mempunyai sebarang dokumen pendaftaran kelahiran.

“PEPERANGAN” DI KAMPUNGKU

Belum pernah semenjak kecil aku mengalami suasana ‘peperangan’ sebenar selain yang sering ditayangkan di layar putih “wayang tek tek” di padang sekolah; tetapi pada suatu hari dalam tahun 1949 kalu tak salah ingatanku, dentuman bedil (senapang patah) semacam mercun Cina pada malam Cap Goh Meh telah kedengaran pada waktu lebihkurang selepas ‘Asar dari arah kawasan hutan di belakang kampungku. Beratus tembakan yang tidak putus-putus selama lebihkurang 10 minit telah dilepaskan oleh penduduk kampung ke arah sasaran di dalam hutan kebun getah tempat ternampaknya kelibat beberapa orang anggota pengganas komunis muncul pada petang itu.

Tembak menembak (tidak jelas samada pihak komunis membalas tembakatau tidak) pada petang itu adalah hasil daripada satu operasi pengintipan yang telah dibuat sejak bebarapa hari sebelum itu tentang kehadiran bebarapa orang anggota pengganas komunis berhampiran sebuah rumah tinggalan di kebun getah berkenaan yang terletaknya di pinggir kampung. Kalau taksilap rumah tersebut sebenarnya sebuah rumah persinggahan sementara atau rumah kongsi kuli Cina penoreh getah. Orang kampung mengesyaki bahawa pengganas komunis keluar dari hutan untuk mendapatkan bekalan makanan (beras, gula, garam dan sebagainya) yang dibekalkan oleh seseorang penduduk keuturnan Cina (penoreh getah) yang bekerja di situ.

Seramai antara 20 hingga 30 orang kampung bergilir-gilir mengendap dari posisi yang agar sesuai, mengintip kawasan sekitar rumah kongsi tersebut dari jauh, untuk menyerang hendap pengganas komunis apabila ternampak keluar dari hutan ke rumah kongsi tersebut. Mereka mengendap dari sebalik belakang tunggul-tunggul kayu besar dan di sebalik banir-banir. Ada juga yang menggali lubang ‘kubu’ tempat sembunyian. Operasi selalunya dimulakan selepas waktu Zohor sehingga masuk Maghrib. Tidak di waktu malam kerana gelap dan tidak sebelum Zohor kerana masing-masing berpekerjaan (bercucuk tanam, menyadap kelapa, menoreh getah dan lain-lain).

Leave a comment